Dear Visitors,
Sunday, 21 April 2013
FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.
Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.
FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.
Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.
Secara keseluruhannya, terdapat 7 konsep utama FPK iaitu :
1. Memperkembang Potensi Individu
Perkara yang dititikberatkan dalam konsep FPK ialah perkembangan seseorang individu yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi , intelek dan juga sosial. Tujuan membangunkan insan secara menyeluruh ini bukanlah untuk melahirkan insan yang sempurna tetapi untuk menyediakan tenaga manusia yang serba boleh.
2. Rakyat Malaysia yang berpengetahuan
Pendidikan merupakan satu proses yang berlaku sepanjang hayat. Sejurus itu, menyediakan rakyat yang berilmu merupakan prioriti utama dalam mendidik masyarakat kerana ilmu akan menentukan hala tuju seseorang itu kelak.
3. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
Unsur yang wajib diterapkan dalam setiap diri individu adalah kepercayaan kepada Pencipta kerana kehidupan beragama merupakan fitrah semula jadi bagi setiap manusia. Di Malaysia, agama rasmi ialah agama Islam. Di samping itu, agama-agama lain bebas dianuti oleh penganut-penganut agama lain.
4. Rakyat Malaysia yang berketrampilan
Rakyat Malaysia perlulah mempunyai pengetahuan dan kelayakan yang sesuai dengan tugas serta mempunyai kemahiran khusus dalam bidangnya. Hal ini adalah untuk memastikan individu tersebut dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna. Perkara ini secara tidak lansung akan mematangkan individu tersebut dan menjadikannya seorang yang berketrampilan.
5. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
FPK juga menerapkan konsep berakhlak mulia dalam pendidikan kerana akhlak mulia akan memastikan individu tersebut menghayati nilai kerohanian,kemanusiaan dan kewarganegaraan. Dengan berbekalkan ilmu, seseorang itu dapat terus mengamalkan nilai-nilai murni yang dipelajari secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupan sehariannya.
6. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
Konsep ini penting kerana rakyat yang mampu mencapai kesejahteraan diri akan memiliki jiwa yang tenang, akal yang waras, perhubungan yang baik serta kuat dalam menghadapi cabaran mendatang. Dengan ini, potensi seseorang itu dapat dikembangkan lagi untuk keperluan diri sendiri, masyarakat, agama dan Negara.
7. Rakyat Malaysia memberi sumbangan terhadap keluarga, masyarakat dan Negara.
Rakyat yang produktif ialah rakyat yang mampu memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan Negara. Dengan adanya rakyat seperti ini, Negara dapat maju di samping bertambah dari segi ekonomi, politik, dan sosial kerana modal insan memberi sumbangan tidak kira daripada sebarang aspek pun.
Kesimpulannya FPK digubal untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab serta menjadi warganegara yang baik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment